Aku ditanya oleh seseorang ...... Mengapa dalam amalan tareqat, perlu mendapatkan ijazah baru boleh beramal sedangkan amalan wirid zikir itu semuanya dari Al Quran ?
Aku menjawab ......
Kalau orang hendak jadi doktor. Kena masuk universiti. Kena baca buku perubatan. Kena belajar dengan doktor-doktor pakar. Kena faham ilmu perubatan berdasarkan amalan yang diiktiraf. Kemudian ada ujian-ujian yang terpaksa dilalui untuk menilai kefahaman. Setelah sah ilmu yang dipelajari, barulah ada majlis konvokesyen untuk diijazahkan.
Tapi bukan di universiti saja ada juga buku-buku perubatan yang digunakan untuk jadi Doktor. Semua orang boleh beli sendiri buku berkaitan perubatan di kedai buku dan baca buku sendiri, tak perlu berguru dengan pensyarah dan tak perlu di konvokesyenkan untuk dapat ijazah sebagai seorang doktor.
Tanpa ijazah bolehkah seseorang diiktiraf sebagai doktor ?
Beranikah anda mendapatkan rawatan dari seorang yang mengaku seorang doktor, tetapi tiada ijazah dan tiada tauliah ?
Mengapa seseorang yang ingin menjadi doktor wajib ada ijazah dari pusat pengajian yang diktiraf ?
Andainya doktor tersebut melakukan kesalahan seperti tersalah rawat atau tersalah ubat, pihak berkuasa akan mempertanggungjawabkan dari mana ijazah doktor tersebut di ambil ?
Begitu juga kalau mahu jadi engineer, kena masuk ke fakulti kejuruteraan, belajar dengan pensyarah yang mahir di bidang kejuruteraan dan diijazahkan dalm bidang kejuruteraan baru boleh jadi jurutera. Jika hasil kerja jurutera itu bermasalah, pihak bertanggungjawab akan trace back, dari mana dia belajar dan pihak universiti dan pensyarah dipertanggungjawabkan.
Begitu juga dgn amalan tareqat. Ijazah itu untuk mengesahkan aliran wirid mana. Agar senang guru dipertanggungjawabkan.
Dalam adat menuntut ilmu, ada guru dan ada murid. Menjadi tanggungjawab guru atas segala permasalahan murid sama ada rohani atau jasmani. Kecacatan syariat dan akhlak murid, guru yang akan dipersoalkan ALLAH di akhirat. Sebab itu ada istilah IJAZAH sebagai tanda , guru bertanggungjawab atas muridnya.
**********************
Ini adalah perkara aneh tapi benar-benar berlaku ! Iaitu pengakuan golongan yang mencetak rompak amalan wirid dan zikir tarekat yang haq. Lantas mereka dakwa amalan wirid dan zikir itu adalah milik mereka (milik guru mereka yang menyangak), dan mendakwa bahawa ia adalah halal kerana ilmu ALLAH, maka ianya milik semua orang.
Astaghfirullaahal 'Aziim !!
Inilah akibat tidak takut dengan api neraka. Mereka sanggup berbohong atas nama ALLAH dan nama Islam dengan menggunakan kalimah halal dan haram sesuka hati.
Aku juga kadaang-kadang merasa hairan, sudah jelas pihak ahli dusta itu mencetak rompak amalan wirid zikir sesebuah tarekat yang haq, mereka berani juga menokok tambah dengan pendustaan di atas nama Rasulullah SAW, malah mereka berani pula menafikan sifat wajib bagi ALLAH dan sifat wajib bagi rasul/Nabi. Sedangkan kesemua perbuatan itu adalah perbuatan AL KAZZAB dan mendatangkan dosa serta merosakkan aqidah. Secara tidak langsung, amalan wirid zikir tareqat yang haq terfitnah dek perbuatan mereka.
Para pengasas Tareqat, mereka berusaha bertahun-tahun, menimba ilmu, mengamalkan ilmu, bermujahadah melawan hawa nafsu dan syaitan serta dunia. Hasil usaha mendekatkan diri kepada ALLAH, barulah pengasas sesebuah tareqat beroleh amalan wirid zikir berkenaan. Jika pihak Al Kazzab Wal Lanun mengatakan tidak mengapa mencetak rompak amalan wirid zikir tareqat yang haq atas alasan semuanya ilmu ALLAH, maka samalah sifat mereka mengatakan tidak mengapa hendak mencuri harta benda orang sebab hakikatnya harta benda di dunia ini adalah milik ALLAH.
Hakikatnya, seorang pengasas tareqat, mereka mengorbankan masa, tenaga, harta semata-mata untuk menimba ilmu syariat, mengamalkannya, sambil bermujahadah semata-mata ingin mendapatkan kasih sayang ALLAH. Orang yang sudah mendapat kasih sayang ALLAH inilah yang dikatakan memperoleh makrifatullah. Waktu itu, tidak ada lagi kebimbangan di hati mereka, melainkan kecintaan dan kerinduan kepada ALLAH. Segala urusan mereka dipermudahkan ALLAH.
Pengasas tareqat setelah berusaha untuk menuntut ilmu, mengamalkan ilmu, bermujahadah melawan nafsu, syaitan dan godaan dunia semata-mata untuk mendapat kasih sayang ALLAH, maka mereka dipilih untuk membawa dan mengajarkan wirid zikir dalam amalan tareqat. Walau pun wirid zikir tersebut adalah milik ALLAH dan dari ALLAH, mereka bertanggungjawab sepenuhnya dalam memikul amanah dan melaksanakan disiplin-disiplin amalan dalam perjalanan bertareqat yang bagaikan Standard Operation Procedure bagi sesebuah organisasi iaitu jemaah tareqat.
Pendekata, pengasas tareqat memikul amanah yang besar dan berat dalam membuat "execution" terhadap perjalanan amalan tareqat yang diterimanya. Beliau bertanggungjawab dalam mendidik para murid dan juga bertanggungjawab atas apa juga masalah yang timbul sama ada dari pihak murid atau pun masalah yang timbul dari sudut perjalanan amalan. Maka sebab itu rantaian amalan wirid zikir tareqat mempunyai rantaian khalifah yang jelas bersambung dengan Rasulullah Shallallaahu ‘Alaihi Wa Aalihi Wasallam dan mempunyai adab memberi dan menerima ijazah yang khusus demi mempertanggungjawabkan amalan tersebut kepada pengasas dan rantaian khalifahnya.
Seandainya berlaku sebarang masalah dalam amalan, akan ada pihak dipertanggungjawabkan. Contohnya, dalam satu jemaah tareqat. Ada khalifahnya, ada muridnya. Jika murid bermasalah, para khalifah bertanggungjawab membantu dan menyelesaikan masalah atas dasar tolong menolong dan sayang menyayang. Andainya jika berlaku, pihak murid yang tertipu dengan pengalaman-pengalaman dalam amalan akibat tidak merujuk kepada mursyid, lantas melakukan kesalahan yang melanggar syariat yang menjadi tapak disiplin. Pastinya kita tidak boleh mengatakan bahawa kesalahan para pengamal yang tidak menurut disiplin itu adalah salah ALLAH kerana amalan itu milik ALLAH dan dari ALLAH. Beranikah kita mengatakan begitu ? Kalau kita tidak berani, pastinya kita tidak sepatutnya mengatakan hak pengasas tareqat itu adalah halal dicetak rompak atas dasar ilmu milik ALLAH.
Sebab itu amat penting susur galur atau rantaian atau sanad dalam beramal. Agar setiap sesuatu ada pertanggungjawaban.
Timbul pula persoalan .... Zikir dan wirid itu dari ayat-ayat Al Quran. Bolehkah amal tanpa ijazah ?
Jawapannya : Boleh. TETAPI jangan sama sekali mengaitkan amalan yang tidak diijazahkan itu dengan pengasas tareqat dan nama jemaah tareqat. Contohnya : Tareqat Z yang diasaskan oleh Syeikh Y, mengamalkan wirid dari surah Al Fatihah, Surah Al Ikhlas, Surah Al Falaq dan Surah An Nas. Ada pula seorang bernama W, tidak mengambil ijazah dari Syeikh Y atau wakil-wakilnya. Tetapi W ingin mengamalkan wirid dari surah Al Fatihah, Al Ikhlas, Al Falaq dan An Nas. W masih boleh mengamalkannya sebagai wirid harian. W akan masih tetap mendapat pahala. Tetapi dilarang sama sekali mengaitkannya dengan Syeikh Y atau tareqat Z, kerana tidak mahu sebarang perkara yang dilakukan oleh W yang bertentangan dengan syariat, dipertanggungjawabkan kepada Tareqat Z dan Syeikh Y.
Sekarang cuba tanya diri anda. Sumber anda memperoleh ijazah itu adakah sah atau sudah dibatalkan ? Jika sah dan masih valid, Tanya pula siapa yang membimbing perjalanan kerohaniannya ?
Kesimpulannya ... dalam kita beramal ibadah, jangan sampai kita mencampur adukkan yang haq dan yang bathil. Kita ingin bertareqat, tetapi syariat kita langgar. Kena ingat. TIADA TAREQAT jika tidak bersyariat.
Mutiara Damansara
13 April 2012
3.41am
Sumber https://www.facebook.com/notes/mat-taiko/apa-pentingnya-ijazah-dalam-amalan-tareqat-/10150526401935769
No comments:
Post a Comment